Mangsa culik dibunuh walaupun tebusan sudah dibayar...🥺
Kajang: Lelaki Bangladesh ditemukan mati dalam keadaan mayat separuh reput dengan tangan dan muka diikat pita pelekat serta kain sarung selepas dibunuh rakan senegara yang memeras ugut keluarganya membayar 500,000 taka Bangladesh (kira-kira RM22,000).
Pembunuhan mangsa berusia 39 tahun terbongkar selepas polis menahan empat lelaki Bangladesh di kawasan Beranang dan Semenyih bermula kelmarin hingga semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima laporan daripada lelaki Bangladesh yang menyatakan pada 25 September lalu anak saudaranya keluar rumah dan tidak dapat dihubungi
Menurutnya, pada 26 September lalu, ibu kepada mangsa yang berada di Bangladesh menerima panggilan daripada suspek yang menyatakan mangsa kini ditahan mereka dan dia dikehendaki membayar 500,000 taka Bangladesh untuk melepaskan mangsa.
"Ibu mangsa kemudian membayar sejumlah wang kepada suspek melalui akaun bank di Bangladesh keesokannya dan suspek berjanji akan melepaskan mangsa dalam masa dua hari.
"Oleh kerana ibu mangsa tidak menerima sebarang berita mengenai anaknya, dia meminta abang kandungnya untuk membuat laporan polis pada 30 September lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zaid berkata, bertindak atas maklumat, pada jam 4 petang hingga 4.10 petang kelmarin, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang menahan dua lelaki Bangladesh di Beranang.
"Susulan tangkapan kedua-dua suspek, polis menahan dua lagi lelaki Bangladesh di Semenyih.
"Hasil soal siasat membawa kepada penemuan mayat mangsa di kawasan semak di Jalan Taming Jaya 10, Kawasan Industrial Park, Seri Kembangan," katanya.
Beliau berkata, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati. Punca kejadian dipercayai, mangsa dibunuh kerana mengenali suspek," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Asisten Superintendan Vekram Sinnaiah di talian 019-4737108 bagi membantu siasatan.