Beri alasan nak tengok bunga api, J4nda anak satu dicekup berkhalwat


Kulim: Seorang wanita memberi alasan hanya mahu bersiar-siar sambil menonton pertunjukan bunga api sempena malam sambutan Tahun Baharu 2023 ketika dicekup berkhalwat bersama pasangannya di sebuah hotel di Taman Kemuning, di sini, awal pagi hari ini.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Shariffudin Mat Saad berkata, hasil pemeriksaan mendapati, wanita berusia 32 tahun berstatus ibu tunggal itu turut membawa anak lelakinya berusia sembilan tahun untuk mengaburi perbuatannya itu.

Beliau berkata, dia dan pasangannya yang berusia 22 tahun yang masih bujang itu dicekup pada 1.35 pagi tadi oleh sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) yang diketuai pegawai, Azwan Azman.

“Selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki yang berpakaian lengkap membuka pintu bilik dan membenarkan pemeriksaan dilakukan.

“Pada waktu itu, terdapat seorang wanita bersama seorang kanak-kanak lelaki berada di dalam bilik berkenaan, namun hasil soal siasat mendapati pasangan itu bukan suami isteri atau mahram dan disyaki berkhalwat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Anwar Shariffudin berkata, hasil siasatan lanjut mendapati wanita itu mendakwa sudah empat tahun hidup menjanda selepas berpisah dengan bekas suaminya.

Katanya, anak mereka sebelum ini tinggal bersama bekas suaminya di Selangor namun pulang tinggal bersamanya di sini sempena cuti sekolah.

“Pada mulanya wanita itu mengaku sudah bertunang dengan lelaki berkenaan sebagai helah untuk mengelak daripada dicekup namun selepas ditanya berulang kali, dia akhirnya mengaku baru hendak bertunang tahun ini.

“Mereka mendakwa berkenalan melalui laman sosial Facebook (FB) sejak lebih tiga bulan lalu,” katanya.

Anwar berkata, mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen mengesahkan mereka pasangan suami isteri atau mahram dan ditahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat.

15 pasangan kena cekup berkhalwat

Kulai : Hendak bertemu dengan tunang ketika cuti, menjadi antara alasan 15 pasangan yang ditangkap bahagian penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam Ops Ambang Tahun Baharu di sini, malam tadi.

Pengarahnya, Datuk Md Rofiki Shamsudin berkata, sembilan pasangan yang ditahan adalah warga tempatan, manakala enam pasangan lagi terdiri daripada warga asing seperti Nepal dan Indonesia.

Katanya, serbuan bermula 10.30 malam dan berakhir kira-kira 1 pagi tadi dibuat di 10 lokasi membabitkan hotel bajet.

“Tujuan operasi ambang tahun baharu ini diadakan adalah untuk membanteras perbuatan maksiat serta aktiviti yang tidak bermoral.

“Kebiasaannya mereka yang melakukan jenayah zina ini, akan memilih untuk melakukan kegiatan itu pada tarikh berkenaan bersempena perayaan ataupun cuti am. Alasan yang diberikan antaranya ialah untuk mengambil peluang cuti untuk bertemu tunang.

“Hasilnya bahagian penguat kuasa, JAINJ berjaya menahan seramai 15 pasangan, terdiri daripada 15 lelaki dan 15 wanita yang berumur antara 22 tahun hingga 38 tahun. Kesemuanya terdiri daripada 18 orang warganegara malaysia dan 12 orang bukan warganegara.

“Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan khalwat di bawah seksyen 27 (1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Johor) 1997 dan sekiranya disabitkan kesalahan, boleh di denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya”, katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai Operasi Ambang Tahun Baru 2023 di sekitar Kulai, di sini, malam tadi.

kredit:hmetro