Tiap hari makan tinju, rotan dan kayu sejak hari pertama bekerja



Kuala Lumpur: Hanya kerana makan, seorang wanita tempatan yang juga warga emas dibelasah majikannya hingga hampir hilang pendengaran dan tidak mampu berjalan di sebuah rumah di Setapak.


Wanita malang itu, Siti Hajar Mohd Yatim, 62, turut mendakwa diludah dan dimaki apabila majikannya tidak berpuas hati hanya kerana perkara remeh serta tidak masuk akal.


Berikutan tidak tahan diperlakukan sedemikian sejak hari pertama bekerja di rumah majikan terbabit, Siti Hajar nekad melarikan diri dengan memanjat tembok setinggi dua meter di kediaman berkenaan sebelum meminta pertolongan orang ramai.

Menceritakan nasib malang yang menimpanya, Siti Hajar berkata, seorang saudaranya menawarkan pekerjaan sebagai pembantu rumah dengan gaji RM900 sebulan sebelum dia bersetuju dengan tawaran berkenaan.


“Pada awalnya saya berjumpa majikan iaitu seorang lelaki berusia 50-an dan pertemuan itu tidak menggambarkan dia seorang panas baran atau kaki pukul.


“Namun pada hari pertama saya bekerja, dia ‘menghadiahkan’ tumbukan di muka hanya kerana tidak berpuas hati dengan beberapa perkara termasuk dituduh mencuri makanan,” katanya.


Siti Hajar yang membujang berkata, setiap hari kehidupannya bagaikan neraka di kediaman berkenaan apabila dipukul dan dibelasah menggunakan kayu serta rotan hingga menyebabkan badannya lebam dan luka.


“Majikan yang juga pemilik bengkel akan ‘naik hantu’ apabila anaknya mengadu saya ada buat salah atau dituduh mencuri wang dan tanpa usul periksa, saya dipukul tanpa belas ihsan.


“Selain itu, majikan juga mengambil telefon bimbit, kad pengenalan dan kad bank kononnya bagi mengelak saya melarikan diri atau menghubungi ahli keluarga untuk mengadu perkara berkenaan,” katanya.


Dia berkata, kemuncak kepada penderitaannya apabila dia dibelasah dan diugut menggunakan senjata tajam apabila sekali lagi dituduh mencuri wang anak majikannya.


“Saya nekad memanjat tembok pagar setinggi dua meter walaupun menanggung kesakitan dan sehelai sepinggang sebelum meminta pertolongan daripada orang ramai lalu dibawa ke Balai Polis Setapak untuk tindakan lanjut.


“Saya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dan dimasukkan ke wad selama seminggu sebelum kakitangan sebuah pusat kebajikan di bandar raya ini mengambil saya,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan terbabit dan siasatan lanjut dijalankan