Baru tiga bulan ikatan perkahwinan terlerai, penyanyi Bad Indigo kelu apabila mendapat tahu bekas isterinya, Ashira sudah bertemu pengganti.

Memetik mStar Online, Bad mengakui masih ada rasa sayang terhadap Ashira dan berharap dapat bersama kembali jika diberi peluang. 

“Namun Allah telah tentukan jodoh kami tak panjang..Memang terkejut apabila dapat tahu dia sudah membawa hati dengan orang lain.

“Saya pun tak boleh cakap banyak mengenainya kerana takut mengganggu kebahagiaan orang lain. Kita hanya merancang, Allah tentukan segala-galanya,” katanya.

Sebelum ini, Bad dilihat ada memuat naik satu perkongsian di Instagram seolah meluahkan rasa kecewa dengan berita tersebut.

Dalam pada itu, Bad berkata hatinya masih belum pulih lagi dari perceraian sebelum ini bagamanapun dia reda dengan segala ketentuan Allah dan mendoakan bekas isterinya bahagia.

“Hati ini pun masih belum pulih lagi sepenuhnya. Saya sentiasa berdoa kepada Allah untuk kuatkan diri dan perkongsian saya di media sosial itu hanya sekadar meluahkan apa yang dirasai ketika ini.

“Takut juga jika ada yang salah anggap. Sekarang ini saya berusaha meneruskan kehidupan dan pada masa sama saya sentiasa mendoakan Ashira bahagia,” katanya.

Sementara itu, Bad berkata dia tidak terfikir untuk mencari pengganti memandangkan keadaan dirinya yang kini berkerusi roda serta tidak mahu menyusahkan orang lain.

“Terus terang saya katakan, saya tak mahu susahkan orang lain dengan keadaan diri saya sekarang. Memang tak terfikir untuk kembali bertemu jodoh. Rasanya mana-mana wanita pun akan fikir dua tiga kali melihat keadaan saya. Semuanya terbatas,” katanya.

Terdahulu, Bad dan Ashira mendirikan rumah tangga pada 11 Mac tahun lalu namun pasangan itu mengumumkan perceraian pada Jun lalu.